Aidilfitri perkukuhkan perpaduan, keharmonian rakyat

KUCHING: Sarawak bertuah kerana memiliki seorang pemimpin yang berani dan berwawasan dalam mempertahankan hak negeri, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut beliau, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri telah mengambil langkah tegas untuk menuntut semula serta melindungi kedudukan sah Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.

Uggah menegaskan, pendekatan kepimpinan Abang Johari bukan berasaskan konfrontasi, sebaliknya berteraskan keadilan demi memastikan hak Sarawak dipulihkan seperti yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Raya 2026.

Beliau berkata, usaha berterusan itu amat penting bagi memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negeri yang lebih kukuh, berdaya saing serta makmur dalam pelbagai aspek pembangunan.

Dalam pada itu, Uggah berkata sambutan Hari Raya Abukan sekadar perayaan keagamaan yang menandakan bermulanya Syawal, malah menjadi medan untuk menghayati nilai kesyukuran, kemaafan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Katanya, semangat perpaduan itu jelas terserlah di Sarawak apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang saling mengunjung, berkongsi juadah serta meraikan perayaan dalam suasana harmoni dan penuh muhibah.

Beliau turut menegaskan bahawa Aidilfitri wajar dijadikan ruang renungan untuk rakyat memahami jati diri, sejarah serta tanggungjawab bersama dalam mempertahankan hak, autonomi dan maruah negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hak Sarawak bukan hadiah daripada sesiapa. Ia adalah sebahagian daripada janji besar yang dimeterai ketika Malaysia dibentuk,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyaran rakyat agar terus memperkukuh perpaduan dan solidariti di belakang kepimpinan Premier serta kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi memastikan Sarawak terus maju sebagai wilayah yang yakin, progresif dan makmur.