Penggunaan tenaga, air meningkat semasa Aidilfitri, guna secara berhemah

PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihat sentiasa menggunakan tenaga dan air secara cekap dan berhemah, terutama semasa perayaan Aidilfitri ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata ini kerana penggunaan tenaga dan air kebiasaannya meningkat semasa musim perayaan.

“Semasa musim perayaan, kadar peningkatan beban penggunaan tenaga elektrik bagi pengguna kediaman lazimnya adalah dianggarkan sekitar 20 peratus hingga 40 peratus berbanding kadar penggunaan biasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fadillah berkata, antara langkah mudah penjimatan elektrik yang boleh diamalkan termasuk, mematikan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan mengelakkan peralatan berada dalam mod sedia.

Selain itu, menetapkan suhu penyaman udara sekitar 24 hingga 26 darjah celcius dan menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai penarafan kecekapan tenaga empat atau lima bintang.

“Bagi kadar penggunaan air pula, peningkatan penggunaan di antara 30 peratus hingga 35 peratus adalah dijangka di kebanyakan negeri yang menjadi tumpuan perantau pulang berhari raya,” katanya.

Fadillah berkata justeru, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memastikan operator bersedia dengan pelan kontigensi sekiranya timbul sebarang insiden luar jangka sepanjang musim perayaan.