Projek bina tangki air tampung keperluan Kampung Baru, kawasan sekitar siap 12 bulan

SAMARAHAN: Projek penggantian paip lama bagi menampung keperluan penduduk Kampung Baru dan kawasan industri sekitar di sini, bakal bermula pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 12 bulan.

“Apabila siap kelak, sistem bekalan air akan menjadi lebih stabil dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Persatuan Ketua Masyarakat & Ketua Kaum (KMKK) Daerah Samarahan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Samarahan dan Pusat Khidmat P197 Kota Samarahan di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM300 juta bagi menaik taraf sistem bekalan air di Bahagian Samarahan, termasuk Kampung Baru.

Dalam usaha melancarkan projek tersebut, katanya beliau juga mengadakan lawatan kerja ke kampung berkenaan bersama pegawai daerah, jabatan berkaitan dan Sarawak Water susulan aduan penduduk.

Menurutnya, masalah bekalan air sebelum ini telah ditangani, namun pertambahan penduduk serta pembangunan pesat kawasan industri berhampiran memberi tekanan baharu kepada sistem sedia ada.

“Dahulu jumlah rumah sekitar 500 hingga 600 sahaja, kini meningkat kepada lebih 1,000, sekali gus menjejaskan kapasiti bekalan air,” katanya.

Rubiah sehubungan itu meminta penduduk Kampung Baru agar memberi kerjasama kepada pihak Sarawak Water dalam usaha memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar demi manfaat bersama.