KUCHING: Lebuk Melanau yang bakal dibina di Wisma Melanau disasarkan siap menjelang 2029 sekali gus menjadi ikon baharu yang mencerminkan warisan komuniti Melanau di Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, pelaksanaan projek berkenaan dijadual bermula dalam tahun ini selepas mendapat persetujuan kerajaan negeri.
“Peruntukan awal sebanyak RM55 juta diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, namun kos projek itu berkemungkinan meningkat berikutan perubahan harga semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Lembaga Amanah Kebajikan Masyarakat Melanau Sarawak (LAKKMS) di sini, hari ini.
Justeru, beliau menekankan kepentingan mempercepatkan proses pelaksanaan bagi mengelakkan peningkatan kos yang lebih tinggi pada masa hadapan akibat faktor ekonomi dan pasaran.
Dalam masa sama, struktur asal Wisma Melanau akan terus dikekalkan sebagai sebahagian daripada projek baharu bagi mengekalkan nilai sejarah, manakala kedudukan strategiknya berhampiran pelbagai institusi penting turut memberi kelebihan dari segi potensi pembangunan kawasan tersebut.
