Kemudahan Pusat Penjaja Kabong dinaik taraf

KABONG: Kewujudan kemudahan seperti pusat penjaja memainkan peranan penting untuk membuka peluang ekonomi kepada masyarakat melalui aktiviti perniagaan kecil, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kemudahan di Pusat Penjaja Kabong kini semakin baik termasuk bekalan air yang semakin stabil terutamanya ketika musim perayaan.

Menurut beliau, pusat penjaja bukan sahaja menyediakan ruang perniagaan kepada peniaga kecil, malah menjadi platform untuk masyarakat menjana pendapatan secara berterusan.

Tambahnya, sektor nelayan dan pertanian kekal sebagai nadi ekonomi utama di Kabong, dan kerajaan akan terus memperkasa kedua-dua sektor tersebut melalui pelbagai bantuan serta inisiatif demi kesejahteraan rakyat.

“Pembangunan yang dilaksanakan tidak akan bermakna tanpa perpaduan dan kerjasama semua pihak. Saya menggesa masyarakat agar terus berganding bahu memastikan kemajuan Kabong dapat dicapai bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berambeh Berami Aidilfitri 2026 di Pusat Penjaja Kabong bersama isteri, Datin Meryani Yassin, yang berlangsung meriah dengan penyertaan 19 reruai, dekat sini hari ini.