DBKU larang aktiviti pembakaran terbuka, tindakan tegas diambil

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mendedahkan getah kabel dibakar individu tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi punca kebakaran belukar di Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, di sini, tengah hari semalam.

Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman berkata, insiden kebakaran belukar itu membabitkan kawasan seluas kira-kira tiga hektar berhampiran Bangunan Sumber Alam.

“Hasil siasatan yang dijalankan oleh anggota di lokasi mendapati terdapat beberapa getah kabel dibakar individu tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlaku api di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang aktiviti pembakaran terbuka adalah dilarang sama sekali dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi tujuan pembersihan kawasan, pelupusan sampah atau apa-apa aktiviti lain,” katanya.

Selain itu, beliau meminta orang ramai menggunakan kaedah pelupusan sisa yang betul, termasuk menggunakan perkhidmatan kutipan sampah yang disediakan oleh DBKU serta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa.

“DBKU memandang serius mengenai perkara ini dan pihak kami akan terus mempergiatkan pemantauan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa,”tambahnya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peraturan berkaitan pembakaran terbuka di bawah Section 113 of the Local Authorities Ordinance, 1996 (by way of abatement).