PALOH: Projek Jambatan Batang Paloh yang sedang giat dibina dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan di kawasan Semop.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, projek tersebut bakal memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 13 kampung termasuk penempatan baharu Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop serta sebuah rumah panjang, khususnya dari aspek sosial dan ekonomi.
Menurutnya, jambatan berkenaan akan menjadi nadi perhubungan darat utama apabila siap kelak, sekali gus meningkatkan akses penduduk terutama di kawasan Pulau Bruit.
“Ketika ini, pelbagai projek pembangunan sedang giat dilaksanakan dan pembinaan jambatan ini diyakini mampu merancakkan pertumbuhan serta meningkatkan kesejahteraan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Semop di Kampung Sebako dan Kampung Sedi, di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir Yusuf Abd Wahab.
Justeru, ADUN Semop itu menggesa masyarakat pelbagai kaum agar terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian serta mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan salah faham dan perasaan kecil hati dalam kalangan rakyat.
Tegasnya, tanpa perpaduan, kerjasama serta sokongan padu daripada rakyat, usaha pembangunan tidak dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus menjejaskan kesejahteraan komuniti.
Abdullah turut berkongsi pesanan seorang bekas ketua kampung ketika awal penglibatannya sebagai wakil rakyat yang menekankan keperluan asas seperti bekalan air, jalan raya dan telekomunikasi.
Katanya, pesanan tersebut menjadi inspirasi berterusan dalam usaha beliau memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan DUN Semop.
