Batu Kawa Innovation Hub kini dibuka untuk tempahan

KUCHING: Batu Kawa Innovation Hub (BKIH) kini dibuka untuk tempahan dan penggunaan awam di An Cheng Ho Sports & Community Hall, di sini.

Menurut kenyataan media Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) pengoperasian penuh BKIH memperkukuhkan komitmennya dalam memperkasa komuniti digital dan usahawan tempatan serta memperkasakan Batu Kawa sebagai pusat kecemerlangan digital.

Penubuhan BKIH ini merupakan cetusan idea Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, yang direalisasikan dengan sokongan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“BKIH menyediakan ruang inovasi yang kondusif bagi menyokong pelbagai aktiviti termasuk kerja profesional, mesyuarat, serta penganjuran acara komuniti dan keusahawanan,” menurut kenyataan itu.

BKIH menawarkan tiga jenis fasiliti utama dilengkapi kemudahan moden iaitu bilik mesyuarat dengan kapasiti sehingga 10 orang, dilengkapi internet berkelajuan tinggi, Smart TV, akses pantri dan perkhidmatan pembersihan.

Hot Desk iaitu ruang kerja terbuka untuk sehingga 30 pengguna dengan kemudahan cetakan serta
akses kepada program pembangunan kapasiti dan keusahawanan turut disediakan.

Seterusnya ruang acara yang mampu menampung 30 hingga 80 peserta dengan kemudahan teknologi dan internet berkelajuan tinggi.

Inisiatif ini bertujuan menyediakan ruang kerja mampu milik serta platform sokongan kepada usahawan, pelajar, syarikat pemula dan komuniti setempat untuk berkembang dalam ekonomi digital.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan dalam talian di booking.tegas.org.my dengan memilih Batu Kawa Innovation Hub dan klik “Get a Quote” untuk semakan ketersediaan dan pengesahan tempahan.