Dua projek RTP siap, suasana pembelajaran kondusif

KABONG: Dua projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya disiapkan bagi meningkatkan kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) To Eman Nyabor.

Projek itu membabitkan jumlah keseluruhan RM500,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek tersebut melibatkan naik taraf Dewan SK To Eman Nyabor bernilai RM200,000 serta naik taraf padang sekolah (RM300,000).

Menurut beliau, pelaksanaan kedua-dua projek ini amat penting dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada warga sekolah, sekali gus menyokong perkembangan akademik dan kokurikulum pelajar.

“Sekolah merupakan institusi penting dalam membentuk masa depan anak-anak, dan kemudahan yang baik akan membantu proses pembelajaran berjalan dengan lebih efektif,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 SK To Eman Nyabor, hari ini.