SERIAN: Projek jalan raya berkembar Serian–Gedong–Samarahan mencatat kemajuan apabila Pakej 1A yang melibatkan jajaran sepanjang 9.72 kilometer (km) dari Simpang Rayang ke Simpang Tanah Puteh kini mendahului jadual pelaksanaan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, projek berkenaan dirancang sebagai koridor mobiliti moden yang menyokong keperluan masa hadapan.
“Projek ini menyediakan laluan berkembar lengkap dengan trek basikal serta kemudahan masa depan seperti laluan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dan koridor utiliti di kedua-dua sisi jalan,” katanya ketika lawatan kerja ke tapak projek, semalam.
Katanya, projek naik taraf itu melibatkan peningkatan daripada jalan dua lorong R3 kepada empat lorong R5, selain pembinaan jambatan konkrit bertetulang sepanjang 40 meter serta pemasangan lampu jalan cekap tenaga.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek tersebut merupakan sebahagian daripada laluan berkembar sepanjang kira-kira 18 km yang menghubungkan Serian ke Gedong, sekali gus memendekkan masa perjalanan kepada sekitar 18 minit pada kelajuan 120 km sejam.
“Apabila semua isu pengambilan tanah selesai, kontraktor dapat memasuki tapak sepenuhnya dan mempercepatkan pelaksanaan projek,” jelasnya.
Dari segi kemajuan, projek ini mencatat prestasi fizikal sebenar sebanyak 7.77 peratus berbanding 3.46 peratus yang dijadual, iaitu mendahului sebanyak 4.31 peratus. Kemajuan kewangan pula mencapai 11.45 peratus berbanding 7.85 peratus.
Dalam jangka panjang, projek ini dijangka menjadi pemangkin pembangunan luar bandar serta menyokong aspirasi kerajaan menjadikan Gedong sebagai hab pertanian, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 14,000 penduduk di kawasan sekitar termasuk Kampung Rayang, Munggu Kopi, Tanah Puteh dan Sebemban.
