SSWF perluas portfolio pelaburan masa depan

KUCHING: Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak (SSWF) dijangka terus berkembang secara berperingkat dengan tumpuan kepada kepelbagaian portfolio pelaburan, selaras dengan strategi jangka panjang serta tahap toleransi risiko yang ditetapkan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dana berkenaan menunjukkan perkembangan positif apabila melangkah ke fasa pelaksanaan pelaburan pada 2025.

Menurut beliau, langkah awal tersebut melibatkan pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap di peringkat domestik dan global, berlandaskan prinsip pemeliharaan modal sebagai asas pengurusan dana.

“Usaha untuk menjadi sebahagian daripada komuniti pelaburan global, termasuk penyertaan dalam forum antarabangsa, mencerminkan aspirasi dana ini untuk berkembang sebagai institusi kewangan yang diiktiraf di peringkat dunia serta beroperasi mengikut piawaian global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Jamuan Hari Raya SSWFFB yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Tambah beliau, kejayaan dana tersebut bukan hanya bergantung kepada satu pihak, sebaliknya merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, rakan strategik, penasihat serta semua pemegang taruh.

Sehubungan itu, beliau berharap SSWF akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi pembangunan Sarawak, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemakmuran jangka panjang negeri.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.