MUKAH: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Night Bazaar Siri 8 diadakan di parkir Takan Berambih, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah di sini dari 17 hingga 19 April ini.
Program bertemakan “Riuh Raya Street Fiesta” menampilkan pelbagai gerai makanan tradisional dan minuman popular, pakaian raya serta aktiviti santai yang menarik kehadiran pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, program itu membuka peluang kepada usahawan kecil, khususnya belia dan pelajar, untuk memasarkan produk mereka.
“Program seperti ini bukan sahaja memeriahkan suasana sambutan perayaan, tetapi turut menyokong peniaga kecil meningkatkan pendapatan serta memperkenalkan produk mereka kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengunjungi gerai jualan serta menyempurnakan cabutan bertuah yang diadakan sempena program berkenaan di sini malam tadi.
Menurut Royston, inisiatif seperti ini wajar diteruskan kerana mampu merancakkan aktiviti ekonomi setempat di samping memberi ruang kepada peniaga baharu mencuba bidang keusahawanan.
