KUCHING: Berita kononnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertimbangkan untuk bertanding di Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah palsu dan dogeng ciptaan pihak tertentu yang berniat jahat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, UKAS dan Penerangan), Datuk Abdullah Saidol berkata, ‘tidak akan ada bukti’ Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS Sarawak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu secara langsung atau tidak.
Kenyataan yang tular di media sosial secara jelas adalah bersifat fitnah politik remeh dan cetek yang bertujuan menimbulkan buruk-sangka dan keresahan antara masyarakat Sabah dan Sarawak, katanya mengulas kenyataan yang tular di media sosial.
Dalam kenyataan di media sosial TikTok dan Facebook tersebar berita kononnya Premier Sarawak mengeluarkan kenyataan bahawa GPS mempertimbangkan untuk bertanding di Sabah dalam PRU akan datang.
“Tidak akan ada bukti Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS Sarawak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu secara langsung atau tidak,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan politik Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak pernah berniat atau melakukan sebarang tindakan untuk mencampuri urusan politik atau pentadbiran negeri-negeri lain di Malaysia.
“Kepimpinan Premier Sarawak ketika ini sedang memberi tumpuan sepenuhnya usaha membangun Sarawak dari segi infrastruktur, ekonomi dan kebajikan masyarakat berdasarkan dasar-dasar pentadbiran yang jelas dan agenda perlaksanaan yang pragmatik,” katanya.
Beliau berkata, ketika ekonomi dunia sedang terjejas disebabkan pergolakan di timur tengah, Premier Sarawak baru sahaja mengumumkan bantuan kewangan tambahan untuk rakyat Sarawak yang terkesan dengan kos sara hidup yang meningkat.
Slogan ‘Sarawak First’ bukan sekadar bermakna mempertahan dan memelihara kepentingan dan hak Sarawak, katanya, jiwa dan semangat slogan itu juga bermakna kesungguhan kepimpinan Sarawak untuk membina kemajuan melalui struktur ekosistem ekonomi moden, pembinaan infrastruktur yang selesa untuk masyarakat.
Tambahnya, jika dana kerajaan bertambah, masyarakat Sarawak akan turut menikmati berbagai kemudahan dan bantuan.
Kerajaan Sarawak, katanya, sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana negeri secara konstruktif demi membina kesejahteraan negeri dan negara.
Sentimen atau retorik politik yang negatif atau bernada sumbang tidak akan membawa sebarang faedah malah akan melemahkan dan menganggu perlaksanaan pelbagai agenda pembangunan di negeri atau negara, katanya.
