MANCHESTER: Kecerdasan buatan (AI), hidrogen dan semikonduktor antara teras utama hala tuju masa depan Sarawak membina ekonomi baharu lebih mampan, berdaya saing selari dengan perubahan teknologi global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hala tuju tersebut dirangka selepas negeri berdepan cabaran termasuk perubahan landskap politik negara serta krisis Covid-19 sehingga menjejaskan ekonomi.
Menurut beliau, situasi itu mendorong kepimpinan Sarawak merangka Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) sebagai asas pembangunan jangka panjang negeri.
“Selepas Covid-19, ekonomi kita terjejas. Jadi kita perlu bangkit semula dan menentukan hala tuju baharu. Kita kumpulkan pemimpin, sektor korporat dan NGO untuk berbincang apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Sarawak Agenda Town Hall ‘Sarawak Towards The Future’ sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2026, UK Edition pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel serta yang lain.
Mengulas hala tuju ekonomi, beliau menegaskan Sarawak tidak lagi mahu bergantung kepada ekonomi lama, sebaliknya meneroka ekonomi baharu berasaskan teknologi dan sumber lestari.
“Kita tidak mahu kekal dalam ekonomi lama. Kita perlu bergerak ke arah ekonomi baharu seperti tenaga hijau, AI dan teknologi baharu,” jelasnya.
Dalam konteks tenaga, beliau menjelaskan Sarawak memilih hidrogen sebagai salah satu sumber tenaga masa depan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Beliau turut menambah, Sarawak mempunyai kelebihan sumber tenaga termasuk hidro, solar, biojisim dan gas yang boleh dimanfaatkan secara mampan.
Dalam bidang semikonduktor pula, beliau menegaskan kepentingan pembangunan cip sebagai asas kepada teknologi masa depan.
“Hari ini, hampir semua sistem bergantung kepada cip. Masa depan akan dipacu oleh semikonduktor dan kecerdasan buatan,” ujarnya.
Mengulas perkembangan teknologi global, beliau berkata generasi muda perlu bersedia menghadapi perubahan pesat dalam bidang AI dan automasi.
“Generasi kamu akan berdepan dunia yang berbeza. AI berkembang dengan sangat pantas. Pada masa depan, kamu akan bekerja bersama teknologi dan juga robot,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan bakat menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan anak Sarawak mampu menguasai bidang strategik.
“Kita perlu membangunkan bakat dan pengetahuan. Sebab itu kita memberi penekanan kepada pendidikan, termasuk pendidikan tinggi percuma dalam bidang tertentu,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata ekonomi Sarawak perlu diperkukuh agar selari dengan bidang pengajian generasi muda bagi menggalakkan mereka kembali berkhidmat.
“Jika ekonomi kita setanding dengan ilmu yang dipelajari, mereka akan kembali. Jika tidak, mereka akan terus berada di luar negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan kewangan negeri membolehkan Sarawak melaksanakan pelbagai projek pembangunan termasuk infrastruktur luar bandar, pendidikan dan kesihatan.
“Kita perlu kuat dari segi kewangan. Bila kita ada hasil, barulah kita boleh membangunkan negeri dan membantu rakyat,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur seperti jambatan dan jalan raya telah memberi impak besar kepada kehidupan rakyat luar bandar termasuk meningkatkan akses pasaran dan pendapatan.
“Kita bina jambatan bukan sekadar untuk kemudahan, tetapi untuk meningkatkan ekonomi rakyat. Apabila ada akses ke pasaran, pendapatan mereka akan meningkat,” jelasnya.
Mengulas masa depan, beliau menegaskan Sarawak perlu terus bergerak seiring perubahan ekonomi global agar tidak ketinggalan.
“Kita tidak boleh kekal statik. Kita mesti bergerak seiring dengan perubahan dunia dan mencari peluang baharu untuk masa depan,” katanya.- UKAS
