KUCHING: Kerajaan mengakui cabaran besar dalam menyalurkan bantuan semasa bencana banjir.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, dalam situasi tertentu ada kawasan penempatan yang sukar diakses melebihi 48 jam kerana laluan dinaiki air banjir yang tinggi.
“Situasi ini sekali gus menjejaskan kelancaran penghantaran bantuan kepada mangsa.
“Pada masa sama, jumlah bot yang terhad serta keutamaan diberi untuk operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),”katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Machan, Allan Siden Gramong pada persidangan DUN Sarawak di sini, semalam.
Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan Daerah (JPBB/JPBD) turut mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
Ia demi memastikan bantuan bencana dapat disalurkan dengan lebih cepat, teratur dan berkesan dengan JKMS melaksanakan Program Latih Amal dan Simulasi di Sibu, Kuching dan Bintulu melibatkan 1,175 peserta dan petugas.
Mengulas lanjut, pada 2025, seramai 32 pembekal makanan dan keperluan asas dilantik di bahagian Sibu bagi menyokong pengurusan bantuan bencana di sana.
Setakat April 2026, jumlah berkenaan bertambah kepada 34 pembekal dengan penambahan dua pembekal Baharu.
Ia sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan mempertingkatkan kecekapan penyampaian bantuan semasa bencana.
Sebagai langkah tambahan, sebuah Mini Depoh Kontena ditempatkan di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Song berhampiran kawasan DUN Machan bagi mempercepatkan mobilisasi bantuan kepada mangsa terjejas.
