Sarawak Water sumbangkan zakat korporat RM325,000 kepada Baitulmal Sarawak

KUCHING: Sarawak Water Sdn Bhd buat julung kali menunaikan zakat korporat syarikat tersebut berjumlah RM325,000.00 kepada Baitulmal Sarawak, pada tahun ini.

Simbolik penyerahan zakat dilakukan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak Water Sdn Bhd Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan diterima Mufti Sarawak Datuk Khalidi Ibrahim.

Majlis penyerahan disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi di pejabat Premier di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, pembayaran zakat tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab korporat syarikat berkenaan yang berada di bawah seliaan kementerian beliau.

Ia juga bagi memenuhi kewajipan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pembayaran zakat itu juga boleh diambil kira sebagai potongan terhadap cukai pendapatan korporat syarikat oleh LHDN,”katanya.

Beliau turut menjelaskan, bahawa Sarawak Water Sdn Bhd merupakan entiti gabungan melibatkan Kuching Water Board, Sibu Water Board dan LAKU Management Sdn Bhd yang dilancarkan Premier Sarawak tahun lalu.