Jawatankuasa Anti-Vandalisme ditubuh, perhebat usaha tangani budaya laku musnah

KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Anti-Vandalisme melibatkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan merupakan usaha Kerajaan Sarawak dalam usaha menangani budaya laku musnah di negeri ini.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang berkata, langkah tersebut diambil bagi menyelaras strategi pencegahan secara lebih efektif.

Mengikut rekod, sepanjang 2025, Sarawak mencatatkan kerugian dianggarkan RM11.34 juta susulan kegiatan tersebut.

“Langkah itu diambil susulan peningkatan kes vandalisme yang menjejaskan kemudahan utiliti dan infrastruktur telekomunikasi di seluruh Sarawak.

“Antara inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk memperkukuhkan kerjasama dengan komuniti setempat,”katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Liwan, melalui program kesedaran anti-vandalisme tersebut, diyakini ia mampu menggalakkan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan kemudahan utiliti dan telekomunikasi.

Tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan vandalisme terhadap kemudahan awam dan infrastruktur telekomunikasi.

Dalam usaha memperketat penguatkuasaan, Operasi Bersepadu ‘Ops Lusuh’ turut dijalankan secara berkala di premis barang lusuh.

Langkah itu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguat kuasa, syarikat utiliti dan telekomunikasi di seluruh negeri, katanya.