KUCHING: Isu kenaikan harga tiket penerbangan terus menjadi kebimbangan rakyat Sarawak yang berada di perantauan, khususnya musim perayaan.
Malah, kos tiket menjadi bebanan pelajar dan golongan pekerja sehingga menjejaskan hasrat mereka untuk pulang ke Sarawak.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim memohon agar kerajaan negeri terus memainkan peranan proaktif dengan mengadakan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan serta syarikat penerbangan.
“Usaha ini penting bagi mencari penyelesaian berkesan dan lebih harmoni demi memastikan kadar tambang yang lebih berpatutan, khususnya musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, semalam.
Sebagai sumbang saran, katanya, beliau mencadangkan tiga inisiatif untuk pertimbangan kerajaan.
Pertama, pemantapan harga siling. Beliau memohon kerajaan negeri berbincang dengan pihak berkuasa penerbangan untuk menyelaras mekanisme harga siling dengan lebih awal bagi mengelakkan lonjakan harga mendadak menjelang musim perayaan.
Kedua, penambahan bilangan pesawat. Beliau mencadangkan kolaborasi bersama syarikat
penerbangan untuk menambah bilangan pesawat dan kekerapan penerbangan ke Sarawak pada
waktu puncak bagi menampung permintaan tinggi dan menstabilkan harga tiket.
Ketiga, penambahbaikan subsidi bersasar. Beliau memohon agar inisiatif subsidi sedia ada untuk
pelajar IPT diperluas kriteria bantuannya atau dipertimbangkan skim serupa bagi golongan
pekerja Sarawak berpendapatan rendah di perantauan untuk meringankan beban mereka.
