Tambahkan pegawai JTS, juruukur swasta percepatkan pengukuran NCR

KUCHING: Kerajaan Sarawak menambah kapasiti sedia ada di Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi percepatkan proses pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ini dengan meluluskan pengambilan seramai 467 pegawai pelbagai kategori di jabatan itu.

Katanya, langkah terbabit melibatkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM30 juta setahun.

“Khidmat juruukur swasta juga turut digunakan dalam menambah kapasiti pasukan ukur JTS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee di Persidangan Dewan Undangan Negeri ( (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara itu, Len berkata sebanyak 11 kawasan di dalam DUN Jepak berkeluasan lebih kurang 3,372 hektar diluluskan untuk diukur perimeter melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu sehingga 30 April 2026.

“Daripada jumlah tersebut, lapan kawasan berkeluasan 2,984 hektar siap diukur dan telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.

Menurutnya, baki tiga lagi kawasan berkeluasan 175 hektar melibatkan kawasan KM15, Jalan Ulu Sebauh (Area B, C dan D) belum dapat dimulakan pengukuran memandangkan Tuai Rumah dan penuntut tanah tidak hadir semasa sesi dialog meja bulat pada 2012.

“Tiada maklum balas diterima daripada penuntut tanah kawasan tersebut walaupun pelbagai usaha JTS Bahagian Bintulu telah dilakukan,” tambahnya.

Katanya, ini termasuk menghubungi mereka melalui surat, telefon dan pesanan melalui radio tempatan.

Selain itu, beliau berkata sebanyak empat kawasan seluas 1,736 hektar di dalam DUN Jepak sedang dalam proses pengukuran lot individu di bawah Program Pengukuran NCR Inisiatif Baharu sehingga 30 April 2026.

“Daripada jumlah itu, seluas 347 hektar siap diukur melibatkan 375 lot dan baki seluas 1,389 hektar pula dalam proses pengukuran,” jelasnya.

Menurutnya, sebanyak 90 lot didaftarkan dengan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.