Cabaran RoboClash bantu cungkil bakat teknologi belia

SERIAN: Cabaran RoboClash 2026 menjadi saluran untuk mencungkil bakat teknologi generasi muda, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.

Katanya, langkah itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) serta keperluan ekonomi masa depan yang dipacu oleh teknologi dan inovasi.

“Penguasaan bidang robotik, kecerdasan buatan (AI) dan automasi kini menjadi keperluan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Cabaran RoboClash Peringkat Akhir di Dewan Masyarakat Serian, hari ini.

Pertandingan yang memasuki edisi ketiga itu dianjurkan di tiga lokasi iaitu Bintulu, Sri Aman dan Serian.

Lebih 350 pelajar dari seluruh Sarawak bersaing dalam pelbagai cabaran berasaskan robotik, dron dan penyelesaian masalah kreatif.

Roland Sagah menyifatkan penyertaan pelajar dari seluruh negeri dalam pertandingan itu sebagai potensi besar bakat teknologi yang dimiliki anak Sarawak tanpa mengira lokasi geografi atau latar belakang.