KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil inisiatif berterusan untuk mencantik dan meningkatkan keselamatan penduduk khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.
Bagi merealisasikannya, DBKU melaksanakan sebanyak 579 unit lampu jalan pintar yang dipasang di Kampung Nombor Satok menerusi fasa satu dan fasa dua pencahayaan pintar bermula Disember 2020 dan Ogos 2024.
Bercakap kepada media selepas majlis ringkas pencahayaan pintar di Kampung Nombor di sini, malam tadi, Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan Petros) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, penggunaan sistem lampu pintar itu bukan sahaja mencantikkan pemandangan kampung malah membolehkan pemantauan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Katanya, selain projek DBKU itu, sebanyak 42 lampu jalan turut dipasang menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Satok di kawasan lain seperti Jalan Green dan Jalan Nanas.
“Jika berlaku masalah, sistem akan mengesan kerosakan dengan serta-merta dan DBKU mengambil tindakan tanpa perlu menunggu aduan seperti sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, DBKU memberitahu bagi fasa satu yang dilaksanakan Disember 2020, sebanyak 210 unit lampu jalan LED pintar dipasang di jalan-jalan utama Kampung Nombor Satok, meliputi Jalan Patingan, Jalan Muhibbah, Jalan Datuk Ajibah Abol, Jalan Haji Mataim, Jalan Muda Hashim, Jalan Bolhassan, Jalan Patinggi Ali, Jalan Haji Kassan dan Jalan Tanjung.
Lampu jalan LED ini membolehkan pemantauan dilakukan secara atas talian dan masa sebenar sekali gus memudahkan kerja-kerja pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.
Teknologi ini turut membantu mengurangkan jumlah aduan berkaitan kerosakan lampu jalan kerana sebarang gangguan dapat dikesan lebih awal dan tepat.
Menurut DBKU lagi, susulan kejayaan fasa satu, maka fasa dua projek ini dilaksanakan pada 2024 dan siap sepenuhnya Ogos tahun yang sama. Projek ini melibatkan pemasangan tambahan sebanyak 369 unit lampu jalan pintar.
