BETONG: Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak diteruskan menerusi penganjuran Majlis Jamuan Teh di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, hari ini.
Majlis penuh istiadat itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (Kesejahteraan Komuniti) Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta tetamu lain.
Terdahulu sebaik tiba, TYT Sarawak bersama dif-dif kenamaan lain menyempurnakan simbolik perasmian majlis menerusi acara memotong pulut kuning sebagai tanda meraikan sambutan berkenaan.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada penerima berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Bahagian Betong melibatkan beberapa kategori bantuan termasuk Bantuan Am (BA), Bantuan Warga Emas (BWE), Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB), Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar (BPT) serta Bantuan Kanak-Kanak (BKK).
Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Peringkat Sarawak Tahun 2026 akan diakhiri dengan Konsert Rakyat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada jam 8 malam ini.
Konsert tersebut bakal menampilkan barisan artis tempatan dan tanah air termasuk Aina Abdul, Ramles Walter, Carrie Geres, Masterpiece, Mawat, Stanley dan Chien yang dijangka memeriahkan sambutan serta menjadi kemuncak acara peringkat negeri tahun ini.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan konsert itu nanti.- UKAS
