BUDAPEST (Hungary): Anak-anak Sarawak yang berada di luar negara berperanan penting dalam menyokong proses pembangunan di Sarawak melalui ilmu pengetahuan, kepakaran dan pendedahan yang dimiliki.
Timbalan Premier Sarawak, Daruk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika berucap pada majlis perhimpunan Anak Sarawak di Hungary anjuran Kedutaan Malaysia di Budapest berkata, Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan anak Sarawak berada di luar negara dan berharap dapat memperkukuhkan sesi libat urus dengan mereka berkaitan dengan agenda pembangunan yang dilaksanakan.
Dalam melaksanakan agenda pembangunan itu, katanya, Kerajaan Sarawak mahu mengadakan sesi libat urus bersama anak Sarawak di seluruh dunia mengenai ilmu pengetahuan, pengalaman dan pendedahan yang mereka miliki untuk memberi sumbangan bermakna kepada program pembangunan di negeri ini.
Pada majlis itu, delegasi Kerajaan Sarawak dan pegawai di kedutaan Malaysia di Budapest beramah mesra dengan anak Sarawak yang berada di Hungary.
Majlis itu sempena lawatan kerja delegasi Sarawak ke Hungary dan Austria.
Awang Tengah menegaskan, Sarawak kini mendapat pengiktirafan dunia melalui agenda pembangunan tenaga dibaharui, ekonomi hidrogen, pembangunan mampan dan transformasi ekonomi di bawah Strategi Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Beliau mendapati anak Sarawak berada di luar negara boleh membantu mengukuhkan pencapaian negeri ini melalui kejayaan dan sumbagan mereka dalam bidang masing-masing.
Setiap anak Sarawak yang berada di luar negara adalah menjadi kebanggan negeri ini kerana melalui pencapaian dan sumbangan mereka boleh membantu mengharumkan nama Sarawak, katanya.
Awang Tengah turut menzahirkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Budapest yang menyokong menjayakan program berkenaan.
Beliau menyifatkan kerjasama antara kedutaan Malaysia dengan Kerajaan Sarawak itu mencerminkan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam mengetengahkan kehadiran Malaysia.
Untuk berapa hari akan datang, delegasi dari Sarawak akan mengadakan sesi libat urus dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa bandar raya, agensi perancangan dan pengusaha industri di Hungary dan Austria untuk bertukar-tukar pandangan dan amalan terbaik dalam bidang perancangan bandar pintar, memperluaskan pembangunan ekonomi, hubungan lojistik, tenaga dibaharui dan pembangunan bandar mampan.
Awang Tengah menegaskan, pengetahuan yang diperoleh daripada lawatan itu akan menyokong persediaan Pelan Limbang-Lawas 2035 dan pembangunan Koridor Pertumbuhan Kawasan Utara yang lebih luas.
“Matlamat delegasi Kerajaan Sarawak berada di sini adalah untuk mempelajari dan bertukar-tukar pandangan,” katanya dan menambah, kolaborasi dan perkongsian pengetahuan itu penting dalam mencari penyelesaian secara inovatif dan mewujud pertumbuhan mampan untuk generasi akan datang.
Beliau turut memuji anak Sarawak di Hungary yang berjaya membina ikatan persaudaraan dalam kalanan anak Sarawak yang belajar dan baharu bekerja di negara terbabit.
