KUCHING: Industri di Sarawak perlu beralih kepada proses pengeluaran hijau secara menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada penggunaan tenaga hijau jika mahu menghasilkan produk yang memenuhi piawaian kelestarian global.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, transformasi tersebut melibatkan keseluruhan rantaian pengeluaran termasuk penggunaan bahan mentah, teknologi serta proses pembuatan yang selaras dengan keperluan ekonomi rendah karbon.
“Dalam erti kata lain, bahan mentah yang digunakan juga perlu bahan hijau. Sebagai contoh, keluli yang digunakan dalam proses pengeluaran perlu dihasilkan berasaskan teknologi hijau.
“Apabila proses itu hijau, maka produk yang dihasilkan juga akan menjadi produk hijau,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian SWG Green Complex & Decarbon Hub di Demak Laut hari ini.
Menurut Abang Johari, industri yang mengamalkan proses hijau turut mempunyai kelebihan dalam mendapatkan akses kepada pembiayaan kerana institusi kewangan kini semakin memberi keutamaan kepada projek dan produk yang memenuhi agenda pembangunan mampan.
Beliau turut menggesa sektor perindustrian di negeri ini supaya mengadaptasi teknologi dan inovasi baharu bagi memperkukuh daya saing serta meneroka peluang pasaran yang lebih luas di peringkat serantau dan antarabangsa.
Terdahulu semasa berucap, beliau berkata Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri dalam peralihan global ke arah penggunaan tenaga hijau apabila diiktiraf sebagai sebuah “electro-petro state” yang memiliki sumber gas dan tenaga boleh diperbaharui.
“Di peringkat antarabangsa, Sarawak diiktiraf sebagai sebuah ‘electro-petro-state’ kerana kita memiliki kedua-dua sumber tenaga tersebut,” katanya.
Menurut beliau, semasa Persidangan Hidrogen baru-baru ini, wakil daripada International Energy Agency (IEA) mengakui kelebihan yang dimiliki Sarawak berbanding banyak wilayah lain.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi SWG Energy Group Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
