SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Kampus Rendah Karbon UiTM Sarawak di Kampus UiTM Samarahan di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr Firdaus Abdullah.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif hijau kampus.
Inisiatif itu seperti Water Refill Station (WRS), Water Thimble Device (WTD), Air Quality Sensor (AQS) serta pelantikan kumpulan UiTM Rakan Alam Sekitar Ambassadors (URASA) Sarawak sebagai ejen perubahan dan duta kelestarian universiti.
Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Prof. Dr Firdaus Abdullah berkata pelancaran Kampus Rendah Karbon ini merupakan komitmen institusi untuk mengubah budaya dan amalan harian warga kampus ke arah kehidupan yang lebih mesra alam.
“Sehubungan itu, UiTM Sarawak akan memberi fokus kepada beberapa inisiatif utama termasuk, pengurangan penggunaan plastik sekali guna, penggunaan stesen isi semula air minuman,” katanya.
Firdaus berkata, inisiatif utama lain ialah pengamalan prinsip 5R( Refuse, Reduce, Reuse, Repurpose dan Recycle), penjimatan tenaga dan air, penghijauan kampus melalui penanaman pokok, pengurangan pelepasan karbon melalui amalan mobiliti hijau dan pengangkutan mampan.
Di samping itu, Penyelaras Jawatankuasa Pelestarian Kampus (LESTARI) UiTM Cawangan Sarawak, Ts. Dr Noorsaidi Mahat menggesa warga UiTM Sarawak bersama menghayati dan mengamalkan gaya hidup rendah karbon.
“Marilah kita menjadikan kampus ini sebagai contoh terbaik sebuah institusi pendidikan
tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan penyelidikan, malah unggul dalam aspek kelestarian alam sekitar,” tambahnya.
