KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong 2026 bagi membincangkan persiapan dan penyelarasan penganjuran konvensyen.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Susan Chemerai Anding; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong dan Ketua Wanita Parti PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.
Pelbagai aspek penting dibincangkan, termasuk perancangan program, penyelarasan jawatankuasa, urusan logistik serta pengisian konvensyen bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Konvensyen PBB Zon Betong 2026 menjadi platform untuk memperkukuh kesepakatan parti, menyelaras hala tuju organisasi serta mengeratkan hubungan antara kepimpinan dan ahli akar umbi di kawasan tersebut.
Parti PBB akan menganjurkan konvensyen melibatkan empat zon utama iaitu Zon Selatan, Zon Betong, Zon Tengah dan Zon Utara bermula Julai hingga September tahun ini.
Setiap konvensyen akan dipengerusikan oleh pemimpin kanan parti dan berfungsi sebagai medan menghimpunkan ahli-ahli akar umbi selain memperkukuh organisasi bagi menghadapi pelbagai cabaran politik pada masa hadapan.
Parti PBB kini mempunyai kira-kira 396,000 ahli aktif di seluruh negeri, sekali gus mencerminkan kekuatan serta sokongan berterusan terhadap parti tersebut dalam landskap politik Sarawak.
