SARATOK: Sebanyak 14 kampung di daerah ini menikmati manfaat projek pemasangan lampu solar di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyatakan bahawa projek bernilai RM1.8 juta itu sedang giat dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik melalui proses tender oleh Majlis Daerah Saratok (MDS) selaku agensi pelaksana.
“Saya dimaklumkan oleh pihak MDS, pemasangan lampu solar ini akan diteruskan ke beberapa rumah panjang dan kawasan penempatan seperti Nyiar, Jelupang, dan Empayak, serta lokasi berisiko tinggi yang dipohon oleh ketua kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Penyelarasan Projek Pemasangan Lampu Solar DUN N.38 Kalaka di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, dekat sini semalam.
Menurut Mohamad Duri, projek ini merupakan bukti komitmen berterusan Pusat Khidmat ADUN Kalaka dalam menyediakan kemudahan, meningkatkan keselamatan, dan mempertingkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.
Inisiatif ini bukan sahaja menerangi jalan kampung, lorong kediaman, dan laluan pangkalan sungai, malah turut membantu meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya pada waktu malam.
Projek ini juga akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kampung Hulu, Tengah, dan Hilir Perpat melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026, selepas peruntukan RTP RM400,000 terdahulu berjaya dilaksanakan di beberapa kawasan sungai dan rumah panjang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), MDS, dan pihak kontraktor atas komitmen padu mereka, sambil menyifatkan projek ini sebagai langkah penting memperkukuhkan pembangunan luar bandar di DUN Kalaka.
