JKR terajui penggunaan teknologi pantau pengurusan risiko infrastruktur

KUCHING: Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan risiko geologi yang semakin kompleks, pembangunan infrastruktur negara perlu diperkukuh dengan penyelesaian geoteknik yang berdaya tahan dan inovatif, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan kegagalan seperti tanah runtuh yang boleh mengancam keselamatan awam.

Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara kini berdepan cabaran geologi yang semakin kompleks termasuk keadaan tanah tropika terluluhawa serta peningkatan kejadian cuaca ekstrem akibat perubahan iklim.

“Keadaan ini menuntut pendekatan geoteknik yang lebih mampan dan berdaya tahan kerana kesejahteraan serta keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kejuruteraan Geoteknik Serantau Malaysia Pertama (MRGEC 2026) di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Menurutnya, tema persidangan, “Tanah Berdaya Tahan, Masa Depan Mampan”, mencerminkan tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap pembangunan infrastruktur negara dibina atas asas yang kukuh serta mampu menghadapi cabaran masa depan.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, penggunaan teknologi dan inovasi moden perlu terus diperkasakan dalam sektor pembinaan bagi meningkatkan ketahanan infrastruktur negara.

Beliau berkata, beberapa projek utama negara membuktikan keberkesanan penyelesaian geoteknik maju termasuk penggunaan Sistem Saliran Menegak Pratuang (PVD) di projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Selain itu, projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak turut menggunakan pendekatan inovatif seperti isian Polistirena Kembang Ringan (EPS) dan tambakan disokong cerucuk bagi mengatasi cabaran pembinaan di kawasan tanah gambut yang dalam.

Selaras dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 dan inisiatif MyDIGITAL, Nanta berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menerajui penggunaan teknologi seperti dron, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan model kembar digital (digital twin) bagi tujuan pemantauan masa nyata serta pengurusan risiko yang lebih berkesan.

“Teknologi ini membolehkan keputusan yang lebih tepat dibuat serta membantu memastikan infrastruktur negara kekal berdaya tahan terhadap risiko baharu termasuk perubahan iklim dan aktiviti seismik serantau,” ujarnya.

Beliau sehubungan itu menggalakkan delegasi memanfaatkan sepenuhnya platform persidangan itu untuk bertukar kepakaran, berkongsi amalan terbaik dan meneroka penyelesaian kejuruteraan yang inovatif serta mesra alam.

Nanta turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak atas kerjasama strategik dalam menganjurkan persidangan julung kali itu yang menghimpunkan kira-kira 500 peserta.

Beliau juga menghargai sumbangan rakan strategik, pempamer serta badan profesional yang terlibat dalam menjayakan 50 reruai pameran yang mempamerkan teknologi dan penyelesaian terkini dalam bidang kejuruteraan geoteknik.

“Dalam semangat Segulai Sejalai, marilah kita terus melangkah seiring bagi memastikan penyampaian perkhidmatan teknikal negara sentiasa mencapai standard tertinggi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.