KUCHING: Program Sarawak Youth Business and Innovation Challenge (saYBIC) menyemai budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan belia, terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, langkah itu selaras dalam usaha melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan di Sarawak.
Program tersebut katanya, memberi penekanan kepada pembinaan semangat daya saing serta pemikiran kreatif dalam kalangan usahawan muda yang sedang meningkat naik.
Program SAYBIC edisi 2025/2026 berjaya menarik penyertaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Politeknik Metro Betong dan Kolej Vokasional Matang.
Seramai 12 peserta berjaya dipilih ke peringkat akhir untuk membentangkan idea serta model perniagaan masing-masing.
Abdul Karim menjelaskan, pemilihan berkenaan memperlihatkan tahap daya saing tinggi serta kualiti projek diketengahkan, sekali gus menjadikan SaYBIC sebagai platform strategik mencungkil bakat usahawan muda
Katanya, inisiatif berkenaan menyediakan ruang kepada pelajar mengetengahkan idea serta produk inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan.
“Program seperti ini sebahagian daripada usaha kita untuk mewujudkan persekitaran kompetitif dan inovatif dalam kalangan belia serta usahawan muda, khususnya mereka yang masih berada di universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Program saYBIC 2025/2026, di Perkampungan Sukan Sarawak, di sini, hari ini.
Tambah beliau, ia penting kerana landskap perniagaan masa kini berkembang pesat seiring kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), sekali gus menuntut perubahan berterusan dalam pendekatan keusahawanan dan pendidikan.
