Buat pilihan sihat kehidupan harian

KUCHING: Seramai 1,849 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai program Kuching Sihat Run 2026 di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak , Dr. Veronica Lugah berkata,program larian ini turut diadakan serentak dengan Kuching Car Free Day.

Acara tersebut merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Dewan Bandaraya Kuching (DBKU).

“Penganjuran sebahagian daripada usaha memperluaskan pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

” Ia melalui pendekatan Whole of Society, Whole of Government dan Whole of Nation,’katanya semasa merasmikan program tersebut pagi ini.

Justeru, beliau mengesa semua perlu pihak berganding bahu untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong kesejahteraan rakyat.

“ANMS menekankan penglibatan aktif masyarakat dalam menjaga kesihatan diri, keluarga dan komuniti.

“Melalui pendekatan ini, kesihatan bukan lagi dilihat sebagai tanggungjawab sektor kesihatan semata-mata, tetapi sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan penyertaan semua pihak,” jelasnya.

Bertemakan “Sihat Itu Saya” setiap individu digalakkan mengambil peranan yang lebih proaktif dalam mengurus kesihatan masing-masing.

Beliau turut berharap semua orang mempunyai kesedaran untuk membuat pilihan yang lebih sihat dalam kehidupan seharian.