DARO: Projek pembangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Lassa bernilai RM57.5 juta dan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) antara inisiatif utama yang bakal memperkukuh pembangunan luar bandar di kawasan Batang Lassa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, projek bernilai RM16.5 juta itu membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan asas dan peluang pembangunan setara.
“Pembangunan sektor pendidikan dan penyediaan bekalan air bersih merupakan antara keutamaan kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk serta melahirkan modal insan yang berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Keselamatan dan Kebersihan Sungai serta Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 di Rumah Jimbau Damu, Batang Lassa, hari ini.
Pada majlis itu, Dr Safiee yang juga Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) turut menyampaikan 50 unit jaket keselamatan kepada 14 Tuai Rumah dan 15 murid SK Batang Lassa sebagai usaha meningkatkan keselamatan pengguna pengangkutan sungai.
Dr Safiee berkata, sungai kekal menjadi nadi kehidupan masyarakat luar bandar dan usaha meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan serta kebersihan sungai perlu diteruskan secara berterusan.
Beliau turut merasmikan beberapa projek yang siap dilaksanakan iaitu Projek Jalan Batang Lassa di Rumah Mohamadin Jumut bernilai RM250,000, Projek Naiktaraf Jalan Rumah Wih (RM500,000) dan Projek Naiktaraf Dewan Batang Lassa (RM200,000).
Selain meninjau projek SAWAS dan pembangunan SK Batang Lassa, beliau turut melawat tapak Projek Bina Baharu Jeti Batang Lassa bernilai RM350,000.
