SARIKEI: Penduduk di kawasan Muara Payang dan Parit Bugis dijangka menikmati sistem perhubungan darat yang lebih sempurna apabila projek jalan dan jambatan yang sedang dirancang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek jalan dari Bukit Huang/Parit Bugis ke Muara Payang bernilai RM65 juta kini sedang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
“Projek berkenaan akan disambung terus ke kawasan Samaring dalam DUN Semop bagi mewujudkan rangkaian perhubungan yang lebih menyeluruh antara kawasan di Delta Rajang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngiling Bidai DUN Kuala Rajang yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang semalam. Ahli Parlimen Tanjung Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab.
Tambahnya, bagi melengkapkan sistem perhubungan itu, sebuah jambatan merentasi Batang Rajang yang dianggarkan bernilai RM300 juta akan dibina.
“Projek tersebut secara dasar telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Perasmian Jambatan Tuanku Haji Bujang di Pasi tahun lalu,” ujarnya lagi.
Len sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada penduduk Muara Payang atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang menantikan pelaksanaan projek berkenaan sejak enam tahun lalu.
