Sarawak timba pengalaman Austria, bangunkan bandar mampan dan tenaga boleh diperbaharui

AUSTRIA: Sarawak terus memperkukuhkan agenda pembangunan mampan menerusi lawatan rasmi ke dua projek ikonik di Vienna, Austria iaitu Aspern Seestadt dan Loji Janakuasa Hidro Freudenau.

Lawatan itu bagi menimba pengalaman serta amalan terbaik dalam perancangan bandar pintar dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, lawatan tersebut bertepatan dengan usaha kerajaan negeri merancang pembangunan jangka panjang yang lebih mampan, khususnya menerusi penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 dan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Beliau berkata demikian semasa mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak dalam lawatan rasmi ke Aspern Seestadt dan Loji Janakuasa Hidro Freudenau, Jumaat lalu.

Menurut Awang Tengah, Aspern Seestadt menjadi contoh pembangunan bandar moden yang berjaya menggabungkan komponen perumahan, pekerjaan, pendidikan, rekreasi, pengangkutan awam, ruang hijau dan aktiviti ekonomi dalam satu ekosistem yang tersusun dan saling melengkapi.

Beliau berkata, pendekatan tersebut amat relevan dalam penyediaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 yang bukan sahaja menumpukan kepada guna tanah, malah melibatkan pembangunan perumahan, komersial, pelancongan, logistik, kemudahan awam, pelaburan infrastruktur serta pemuliharaan alam sekitar secara bersepadu.

Dalam aspek tenaga pula, beliau berkata Loji Janakuasa Hidro Freudenau membuktikan bagaimana infrastruktur hidroelektrik mampu menyokong penjanaan tenaga bersih sambil diintegrasikan dengan pengurusan sungai, pembangunan bandar dan perlindungan alam sekitar.

Beliau menambah, pengalaman yang diperoleh daripada projek tersebut akan membantu Sarawak memperkukuh pendekatan terhadap perancangan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan rendah karbon, daya tahan iklim serta pengurusan sumber semula jadi secara mampan.

Tambah beliau, pendekatan itu berpotensi memperkukuh sektor perdagangan sempadan, logistik, pelancongan, perkhidmatan dan industri berasaskan pertanian di wilayah utara Sarawak.

Ini untuk menyokong usaha negeri menjadi hab tenaga bersih serantau dan merealisasikan peranan sebagai ‘Bateri Hijau ASEAN’.