KMKK proaktif pupuk perpaduan, perjelaskan dasar kerajaan peringkat akar umbi

LAWAS: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disaran memainkan peranan lebih aktif dalam menangani pelbagai isu di peringkat akar umbi tanpa terlalu bergantung kepada campur tangan wakil rakyat.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, sebagai pemimpin yang paling hampir dengan masyarakat, KMKK mempunyai kedudukan strategik untuk mengenal pasti masalah setempat, menyampaikan maklumat kerajaan serta membantu mencari penyelesaian yang cepat dan berkesan.

“KMKK juga perlu terus menjadi agen perpaduan dalam komuniti selain memastikan pelaksanaan projek pembangunan kerajaan di kawasan masing-masing berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Banyak perkara di peringkat kampung dan rumah panjang boleh diselesaikan melalui peranan aktif KMKK. Apa yang penting ialah keikhlasan, ketelusan dan komitmen dalam menjalankan amanah yang diberikan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat KMKK Lun Bawang Siri 2/2026 di Pejabat Daerah Lawas, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan terhadap usaha KMKK di Lawas yang disifatkan berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Mesyuarat tersebut turut menjadi platform untuk membincangkan pelbagai isu rakyat yang kemudiannya mendapat maklum balas secara langsung daripada pemimpin dan pegawai kerajaan yang hadir.

Hadir sama Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Temenggong Davis Parag Udan.

Sementara itu, Awangku Jinal Abedin mengingatkan KMKK agar terus memberi khidmat terbaik dan menyuarakan isu rakyat secara berhemah kepada pihak atasan.

Pelbagai isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut turut mendapat maklum balas segera daripada pihak berkaitan.