BINTULU: Pelabuhan Bintulu yang kini kembali berada di bawah pentadbiran Kerajaan Sarawak disifatkan sebagai langkah penting dalam mengembalikan hak negeri terhadap aset strategik yang pada asalnya terletak di bawah bidang kuasa Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedudukan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan negeri selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, namun pengurusannya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada awal 1980-an bagi membolehkan projek pembangunannya dilaksanakan.
Menurutnya, ketika itu pembangunan pelabuhan berkenaan memerlukan pembiayaan kira-kira RM400 juta daripada Bank Pembangunan Asia (ADB), yang memerlukan jaminan berdaulat daripada Kerajaan Persekutuan sebelum pinjaman dapat diluluskan.
“Disebabkan faktor tersebut, satu persetujuan telah dicapai antara Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub, untuk meletakkan pelabuhan ini di bawah pengurusan Persekutuan walaupun ia berada dalam senarai negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek susulan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Menara Kidurong, hari ini.
Abang Johari berkata, pengembalian pelabuhan tersebut kepada Sarawak merupakan hasil persefahaman yang dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menerusi proses rundingan yang berjalan lancar serta mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mengiktiraf kedudukan asal Pelabuhan Bintulu di bawah bidang kuasa negeri, malah mencerminkan komitmen kedua-dua kerajaan dalam menyelesaikan perkara berkaitan hak Sarawak secara konstruktif dan saling menghormati.
Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak pada Februari lalu mencapai persetujuan secara prinsip mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion termasuk kaedah pembayaran yang dipersetujui bersama.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat.
