Diesel bersubsidi RM2.10 seliter mulai Julai ini

BINTULU: Kerajaan MADANI mengumumkan harga diesel bersubsidi akan diturunkan kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai ini menerusi pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar menggunakan MyKad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan subsidi diesel hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak, sekali gus mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan subsidi.

Menurut beliau, sistem baharu itu akan menyeragamkan kaedah pembelian diesel bersubsidi di seluruh negara, manakala bukan warganegara perlu membeli bahan api berkenaan pada harga pasaran tanpa subsidi.

“Pembaharuan tersebut penting bagi menghadapi cabaran ketidaktentuan pasaran minyak global yang dipengaruhi faktor geopolitik dan konflik antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek susulan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri yang dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Anwar turut menjelaskan, bahawa jurang antara harga subsidi dan harga pasaran sebelum ini membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan serta penyalahgunaan subsidi oleh pihak yang tidak layak.

Menerusi pelaksanaan baharu itu, pengguna diesel di Sabah dan Sarawak akan menikmati penurunan harga daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter, dengan maklumat lanjut dijangka diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Isnin ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof serta Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.