Prinsip asas disepakati, perjanjian PETRONAS-PETROS menanti dimuktamadkan

BINTULU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak semakin hampir mencapai kata putus dalam isu melibatkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) apabila beberapa perkara utama berjaya diselesaikan menerusi rundingan yang berlangsung sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan tersebut memberi petanda positif ke arah pemuktamadan perjanjian antara kedua-dua syarikat itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, perbincangan yang dijalankan secara berterusan bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghasilkan persetujuan terhadap prinsip dan parameter utama yang menjadi asas penyelesaian.

“Saya berharap perjanjian antara PETRONAS dan PETROS dapat dimuktamadkan tidak lama lagi kerana beberapa perkara pokok telah dipersetujui,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek susulan pemindahan status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri di Menara Kidurong, hari ini.

Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Anwar berkata, proses rundingan mengambil masa kerana melibatkan kepentingan strategik industri minyak dan gas negara, namun usaha berterusan dilakukan bagi memastikan penyelesaian yang dicapai memberi manfaat kepada Persekutuan, Sarawak serta kedua-dua syarikat terbabit.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof turut memainkan peranan penting dalam menyelaras rundingan bagi memastikan pandangan semua pihak diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau menegaskan bahawa prinsip asas penyelesaian yang dipersetujui bersama itu juga telah diumumkan di Parlimen sebelum ini.