KUCHING: Sarawak memainkan peranan penting memperkasa bahasa Melayu dan memelihara warisan bahasa sukuan negara, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah pada Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 mencerminkan sumbangan besar negeri ini dalam memperkukuh bahasa kebangsaan serta memupuk perpaduan rakyat Malaysia.
“Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah bagi sambutan Jubli Platinum ini bukan satu kebetulan.
“Ia adalah simbolik utuhnya jambatan bahasa yang menghubungkan Semenanjung, Sarawak dan Sabah dalam satu semangat kebangsaan yang tidak bertepi,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.
Fadlina berkata demikian pada perasmian sambutan yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Hotel Pullman di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, penubuhan DBP Cawangan Sarawak pada tahun 1977 juga hasil ilham Allahyarham Tun Abdul Rahman Yaakub yang membuka ruang lebih luas kepada pembangunan bahasa, sastera dan penerbitan di negeri ini.
“Melalui projek berimpak tinggi Pangkalan Data Umum Bahasa Suku Sarawak, kita bangga dengan kejayaan menerbitkan kamus sukuan.
“Ia seperti Kamus Bahasa Iban – Melayu Dewan, Kamus Melanau Mukah – Melayu Dewan, Kamus Bahasa Vaie – Melayu Dewan, Kamus Melayu Sarawak – Melayu Dewan dan pelbagai Daftar Kata Sukuan di Sarawak,” katanya.
Usaha ini tegasnya perlu diteruskan secara lebih menyeluruh dengan mendokumentasikan khazanah bahasa etnik di Sarawak, khususnya bahasa daripada 27 etnik utama serta etnik-etnik lain yang mendiami pedalaman.
Selain memelihara kosa kata masyarakat peribumi, usaha ini turut memperkayakan Bahasa Kebangsaan tambahnya.
Beliau menegaskan usaha pendigitalan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) dalam Rancangan Strategik DBP 2026-2030 terus memperkukuhkan peranan Sarawak antara penyumbang penting kepada pembangunan bahasa Melayu pada masa hadapan.
Turut hadir, isteri TYT, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato Wan Hashim Wan Rahim.
Ketua Pengarah DBP Malaysia Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak , Dr. Azizul Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Daro merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dr. Shafiee Ahmad dan Ahli Lembaga Pengelola DBP Dato Dr. Jeniri Amir hadir sama.
