Sarawak, Jerman perkukuhkan kerjasama strategik

JERMAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa menerusi lawatan teknikal serta sesi libat urus delegasi kerajaan negeri yang diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel di Munich.

Pertemuan terhadap Ahli Parlimen Negeri Bavaria, Martin Huber semalam menjadi platform bagi membincangkan pelbagai bidang berkepentingan bersama termasuk pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), inisiatif peralihan tenaga, strategi inovasi serta potensi kerjasama masa depan antara Kerajaan Bavaria dan Sarawak.

Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kepentingan memanfaatkan teknologi, penyelidikan dan inovasi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

Turut dibincangkan ialah pengalaman Jerman dalam memacu transformasi digital, inovasi industri serta pembangunan tenaga bersih yang boleh dijadikan rujukan kepada usaha Sarawak membangunkan ekonomi yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Delegasi Sarawak turut berkongsi keutamaan strategik negeri termasuk aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital dan teknologi baharu muncul.

Muhammad Abdullah menjelaskan, Sarawak komited untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa yang dapat menyokong agenda pembangunan negeri khususnya dalam bidang yang selari dengan kelestarian, kemajuan teknologi dan kepelbagaian ekonomi.

Katanya, peluang kerjasama dalam aspek pertukaran pengetahuan, pembangunan kapasiti, perkongsian penyelidikan dan pelaburan akan terus diteroka bagi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Terdahulu, delegasi Sarawak turut mengadakan sesi libat urus bersama badan pemikir Technical University of Munich (TUM) yang melibatkan Dekan TUM School of Social Sciences and Technology, Profesor Urs Gasser serta Pengarah Urusan TUM Think Tank di Munich School of Politics and Public Policy, Markus Siewert.

Perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur AI berdaulat, inovasi teknologi, peralihan tenaga dan peranan institusi penyelidikan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.

Turut mengiringi delegasi ialah Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Dato Anderson Tiong, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS), Busiai Seman serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC), Prof Patrick Thien.