KUCHING: Semua pihak terutama figura awam digesa supaya menjaga tutur kata semasa berucap di khalayak ramai demi memelihara sensiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, tanggungjawab menjaga tutur kata bukan hanya terletak pada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semata-mata, tetapi juga dipikul oleh semua pihak bagi memastikan keharmonian negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.
“Berhati-hati dalam setiap ucapan dan penggunaan bahasa bagi mengelak memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya golongan belia dan orang muda,” katanya selepas Majlis Perasmian Taklimat Perdana Penerbitan DBP dan Majlis Pelancaran Buku Agenda Pemikiran Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP di sini hari ini.
Menurut beliau, insiden yang melibatkan rakyat Malaysia di luar negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana suatu perkara yang dianggap gurauan boleh menjejaskan nama baik negara.
Individu yang sering menjadi tumpuan awam perlu memastikan ucapan mereka disediakan dengan baik bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham atau menjejaskan reputasi pihak tertentu, katanya.
Abdullah berkata, penyediaan teks ucapan yang teratur amat penting terutama bagi mereka yang kurang selesa berucap secara spontan.
“Kalau dah tahu kemampuan untuk berucap secara spontan itu tidak begitu baik, saya rasa elok teks ucapan disediakan sebab kadang-kadang tersasul kata, kesannya kadang-kadang tidak baik,” katanya.
Justeru, beliau berharap buku yang dilancarkan dapat menjadi pedoman kepada mereka yang sering berucap, termasuk pengacara majlis dan pembaca berita, agar sentiasa beradab dan berhati-hati dalam penggunaan bahasa.
Hadir sama, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Hazami Jahari dan Ahli Lembaga Pengelola DBP Dato Dr Jeniri Amir.
