BUDI Diesel pastikan rakyat Sarawak layak nikmati diesel bersubsidi

KUCHING: Rakyat Sarawak yang layak bakal menikmati diesel bersubsidi pada harga lebih rendah iaitu RM2.10 seliter.

Ini menerusi pelaksanaan sistem bersasar BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini kata Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Penurunan harga tersebut dapat dilaksanakan hasil usaha kerajaan mengekang aktiviti penyeludupan.

“Ia juga dapat menutup ruang ketirisan subsidi yang selama ini menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara,” katanya.

Amir berkata demikian pada taklimat media mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di sini hari ini.

Menurut beliau, rakyat yang layak hanya perlu menggunakan MyKad sebagai pengesahan kewarganegaraan bagi membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter berbanding RM2.15 seliter ketika ini.

Di bawah pembaharuan subsidi diesel itu, setiap individu yang layak diberikan had asas 200 liter sebulan untuk pembelian diesel dan RON95.

Bagi mengambil kira keperluan penduduk luar bandar dan pedalaman di Sarawak, pemilik kenderaan pikap dan jip boleh memohon tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Beliau berkata, kerajaan menganggarkan kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan, sekali gus memastikan majoriti pengguna terus menerima manfaat subsidi.

Dalam pada itu, kerajaan turut bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi mengenal pasti kumpulan lain yang bergantung kepada diesel, termasuk pemilik generator di rumah panjang dan pengusaha bot sungai, supaya tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Sementara itu, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 turut diperluaskan ke Sarawak dan Sabah bagi membolehkan kenderaan komersial yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter melalui penggunaan kad armada (fleet card).

Setakat ini, hanya sekitar 30,000 daripada lebih 70,000 kenderaan komersial yang layak di kedua-dua negeri telah mengemukakan permohonan.

Sehubungan itu, pemilik kenderaan yang layak digesa segera memohon melalui portal rasmi BUDI MADANI dan MySubsidi bagi memastikan mereka terus menikmati subsidi diesel mulai Julai ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.