Kajian aliran trafik di Petra Jaya setiap 10 tahun

KUCHING: Kajian aliran trafik bagi mengatasi kesesakan lalulintas jalan raya akan terus dilakukan di kawasan Petra Jaya yang sedang pesat menikmati pembangunan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata ketika ini kajian terbabit dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) setiap 10 tahun berikutan pertambahan penduduk dan kenderaan menyebabkan kesesakan lalulintas menjadi cabaran di bandar raya ini.

“Saya yakin JKR bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan membuat kajian (aliran trafik di kawasan Petra Jaya),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang SPM (RISE – Recognition of Inspiring
Student’s Excellence) di Dewan Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuching Utara, di sini, hari ini.

Fadillah berkata, sebelum ini pihaknya bercadang membina laluan bawah tanah berdekatan Pusat Perubatan Pakar Normah dan pasar raya EMart di Matang bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di Petra Jaya.

Namun, katanya bila kajian dibuat oleh JKR mendapati cadangan ini tidak sesuai disebabkan begitu banyak kemudahan utiliti termasuk paip air, kabel elektrik dan sebagainya dalam tanah yang perlu dipindahkan.

“Jadi kemungkinan kena membuat rekaan teknikal yang baru lah oleh JKR. Sebab itu mereka memerlukan kajian yang lebih terperinci lagi,”tambahnya.

Beliau berkata, hasil kajian tersebut mendapati pihaknya mengekalkan bulatan besar di bandar raya ini bagi memperlahankan aliran trafik, sekali gus mengelakkan kesesakan berpindah ke kawasan lain, di samping turut mencantikkan landskap bandar.

“Tapi yang penting, trafik warden DBKU bersama polis dan sebagainya ditempatkan bagi menguruskan aliran trafik,” katanya.