Ride Mahabbah himpun peminat aktiviti permotoran sekitar Bintulu

BINTULU: Kira-kira 300 peserta yang meminati aktiviti permotoran berjaya dihimpunkan dalam Program Ride Mahabbah di sini, hari ini.

Pengisian program termasuk takzirah penceramah jemputan, Habib Mohammad Mustofa Al Haddad, bacaan Ratib Al-Haddad, solat berjemaah, kuliah Maghrib, sesi santai bersama ikon permotoran serta konvoi ke Masjid Baru Tatau bagi solat Subuh berjemaah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata program terbabit anjuran bersama Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak dan Brotherhood Motorsport Club (BMC).

“Minat terhadap dunia permotoran perlu disalurkan ke arah yang lebih bermanfaat supaya ia bukan sahaja menjadi aktiviti riadah, tetapi turut memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan komuniti,” katanya semasa berucap pada program berkenaan.

Beliau juga berharap program seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh perpaduan serta pembangunan belia di kawasan Jepak dan sekitarnya.