Penduduk Kampung Melaban bakal miliki dewan baharu, tapak dikenal pasti

KOTA SAMARAHAN: Pembinaan dewan baharu di Kampung Melaban dijangka dapat diteruskan selepas tapak projek dikenal pasti, sekali gus membolehkan permohonan mendapatkan semula peruntukan dikemukakan kepada kerajaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, kelulusan projek yang diperoleh pada 2024 sebelum ini tidak dapat diteruskan kerana isu berkaitan tapak pembinaan.

“Bagaimanapun, halangan tersebut kini telah diselesaikan dan usaha sedang dijalankan bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan demi memenuhi keperluan penduduk.

“Dewan baharu amat diperlukan berikutan pertambahan penduduk serta peningkatan aktiviti kemasyarakatan dan belia di Kampung Melaban,” katanya ketika merasmikan Program Randau Komuniti Bersama Pemimpin dan Sambutan Ngiling Tikai 2026 di Balai Raya Kampung Melaban, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata Kota Samarahan bakal menerima limpahan pembangunan menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik seperti Sistem Transit Aliran Autonomi (ART), Lapangan Terbang Antarabangsa Tanjung Embang dan pelabuhan laut dalam.

Menurutnya, kerajaan juga akan terus memberi perhatian terhadap penambahbaikan bekalan air, kemudahan pendidikan serta rangkaian jalan raya bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau turut menyifatkan sambutan Ngiling Tikai dan Program Randau Komuniti sebagai wadah memperkukuh perpaduan masyarakat di samping menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar serta inisiatif pembangunan kerajaan kepada rakyat.