Usaha, doa iringi kejayaan pelajar cemerlang SPM 2025, bukti ketabahan tanpa batas

KUCHING: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari sekolah-sekolah di kawasan Parlimen Petra Jaya menzahirkan rasa syukur atas sumbangan insentif yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof.

Seramai 150 pelajar cemerlang SPM 2025 di Parlimen Petra Jaya menerima sumbangan pada majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pelajar Cemerlang SPM (RISE- Program Kecemerlangan SPM 2025), di Dewan Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuching Utara, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.

Salah seorang penerima, Zahra Alireza Nabizadeh Fard Shirazi, pelajar Calon Berkeperluan Khas (CBK) berjaya memperoleh 8A (2A+, 6A) berkata, kekurangan fizikal atau cabaran hidup bukanlah halangan untuk berjaya.

Walaupun dilahirkan dengan masalah tulang sehingga menjejaskan pergerakan fizikalnya, Zahra dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Hilir tidak menghiraukan kritikan sebaliknya berazam untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi atau undang-undang di universiti tempatan.

“Saya berdepan cabaran emosi, tekanan dan sebagainya namun saya menguatkan diri dan melawan perasaan itu. Dan Alhamdulillah, saya berjaya membuktikan kemampuan diri,” katanya yang akan menyambung pelajaran Tingkatan Enam di SMK Matang.

Zahra anak sulung dari dua beradik berkata demikian ketika ditemani bapanya selepas menerima sumbangan tersebut.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Iman Lens Azraei Iman Lens Althaf akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tajaan Petronas dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Datuk Amar Fadillah atas sumbangan insentif ini,” katanya.

Faiz Haikal Abdul Rahman yang mendapat 7A akan melanjutkan pelajaran dalam program asasi pengurusan kemudian melanjutkan pelajaran dalam kejuruteraan perisian di Universiti i-CATS.

Sementara itu, Muhammad Shamerudeen Mohd Shamsuddin dan Imran Arifin Suhadi masing-masing memanfaatkan insentif itu untuk menampung pengajian.

Mereka turut menzahirkan terima kasih kepada Parlimen Petra Jaya atas sumbangan berkenaan.