Anak Sarawak raih tempat pertama di NAICO Malaysia Net Zero Challenge 2026

SERDANG: Dua pelajar Kolej Universiti i-CATS (ICATS) anak Sarawak meraih tempat pertama dalam pertandingan NAICO Malaysia Net Zero Challenge 2026.

Menurut kenyataan universiti itu, pelajar berkenaan, Lai Neng Yaw dan Vincent Law Hock Chun merupakan pelajar tahun pertama program Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa.

Pertandingan tersebut dianjurkan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) sempena MyAero Summit 2026 dari 25 hingga 27 Jun 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor.

Mereka di bawah bimbingan Dr. Nurul Zubaidah dari Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa mewakili i-CATS dalam kategori Net Zero Strategy serta berjaya menarik perhatian juri menerusi pembangunan NAICO ESG Aerospace Validator.

NAICO ESG Aerospace Validator adalah perisian inovatif yang direka untuk menilai dan mengesahkan pematuhan Environmental, Social and Governance (ESG) dalam sektor aeroangkasa.