Jangan jual TOL, urus niaga tidak diiktiraf

BINTULU: Pemberian Lesen Pendudukan Sementara (TOL) merupakan kemudahan yang disediakan kerajaan bagi membantu rakyat memiliki tapak (lot) untuk membina rumah.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, justeru setiap penerima TOL harus memanfaatkan kemudahan itu sebaiknya untuk membina rumah.

“Oleh itu, pemilik diiingatkam agar jangan menjual lot berkenaan kerana ia tidak boleh dipindah milik,” katanya pada majlis penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) Bahagian Bintulu di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Pembangunan Bandar ll berkata, jika ada yang membelinya, mereka hanya ‘membeli angin’ kerana urus niaga itu tidak akan diiktiraf oleh kerajaan.

“Saya berharap semua penerima menggunakan TOL ini dengan sebaik-baiknya kerana program pemberian hak milik dan penyediaan tapak kediaman akan diteruskan selagi masih diperlukan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan program penempatan semula dan pembesaran kampung bagi memenuhi keperluan rakyat, termasuk menyediakan lot kediaman yang dilengkapi kemudahan asas.

Kerajaan menanggung kos pembangunan yang tinggi bagi setiap lot, katanya dan menambah, namun penerima hanya dikenakan premium yang rendah dengan kemudahan pembayaran secara ansuran sehingga 10 tahun.

Menurut beliau, kerajaan juga menyediakan pilihan kepada penerima yang tidak berkemampuan membina rumah sendiri melalui Program Rumah SPEKTRA Permata dengan kemudahan pembiayaan pada kadar keuntungan yang rendah.

Pada majlis itu, seramai 39 penerima menerima TOL bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Melayu Tubau.

Selain itu, sebanyak 274 Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTS turut disampaikan kepada 189 penerima melibatkan kawasan Sungai Senunok dan Sungai Kelebu di DUN Kakus, Sungai Rassan di DUN Kemena dan Murum serta Sungai Sepadok di DUN Jepak.