SIMANGGANG: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) disaran terus memperkukuhkan perpaduan, kesepakatan dan semangat perjuangan bagi memastikan kestabilan politik yang menjadi asas kepada kemajuan berterusan Sarawak terus dipelihara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kestabilan politik yang dinikmati negeri itu membolehkan kerajaan merancang serta melaksanakan pelbagai dasar dan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di luar bandar.
“Ahli parti perlu terus mengekalkan semangat perjuangan dan memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerana kekuatan parti sentiasa terletak pada perpaduan, kesetiaan dan kesepakatan ahlinya.
“Selagi kita bersatu dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Premier Sarawak, kita akan terus menikmati kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negeri,” katanya ketika merasmikan Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 anjuran PBB Cawangan Lingga di sini, semalam.
Uggah berkata, segala pencapaian yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil perpaduan dan kestabilan yang dibina bersama kerajaan serta rakyat.
Justeru, katanya semangat tersebut perlu terus dipelihara agar agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, kestabilan politik turut membolehkan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Lingga sekali gus meningkatkan kemudahan infrastruktur, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup masyarakat.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada jawatankuasa penganjur serta merakamkan penghargaan kepada ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, dan seluruh jawatankuasa atas komitmen menjayakan program berkenaan.
Turut hadir Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, Senator Susan Chemerai Anding serta barisan pemimpin Parti PBB Cawangan Lingga.
