KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Pembangunan Profesional Asia Pasifik (APPD) dan Universiti Curtin Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan di negeri ini.
Pengarah Urusan APPD, Dr. Michael Sim berkata, ia dengan melaksanakan program pendidikan eksekutif membabitkan beberapa program.
“Kerjasama itu akan dimulakan dengan empat program sijil eksekutif dalam bidang perakaunan forensik, pertanian, keusahawanan serta kepimpinan wanita.
“Selain itu kami merancang program pengurusan pelancongan sebagai program kelima,” katanya kepada media semasa majlis pertukaran MoU di sini hari ini.
Buat permulaan, tambah beliau, program akan dilaksanakan di Kuching, manakala latihan berkaitan pertanian akan dijalankan di Miri.
Manakala, latihan dalam bidang pertanian pula akan dijalankan di Miri dengan memanfaatkan kemudahan makmal penyelidikan Curtin Malaysia serta kepakaran tenaga pengajar tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Vincent Lee berkata kerjasama tersebut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
“PCDS 2030 memberi penekanan kepada pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran tenaga kerja,” katanya.
Tambahnya, kolaborasi itu bukan sahaja meningkatkan kompetensi tenaga kerja sedia ada, malah membantu memenuhi keperluan industri serta menarik lebih banyak pelaburan ke Sarawak menerusi pembangunan modal insan yang berkualiti.
Turut hadir menyaksikan majlis pertukaran MoU itu ialah Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri, dan Pengarah Urusan APPD, Alvin Leong.
