KUCHING: Sarawak berhasrat meneroka pelbagai amalan terbaik untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat yang boleh dipelajari dan dijadikan penanda aras dari negara Austria.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dengan pelantikan baharu Datuk Fenny Nilu sebagai Duta Besar Malaysia ke Austria akan mengukuhkan lagi hubungan.
“Kita berharap beliau dapat membantu mengenal pasti amalan terbaik yang boleh dipelajari Sarawak daripada Austria dalam pelbagai bidang khususnya di bawah kementerian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Datuk Fenny Nilu di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, amalan terbabit termasuk aspek pembangunan awal kanak-kanak, pembangunan wanita, status negeri menua, kebajikan orang kelainan upaya (OKU) serta kesejahteraan sosial secara keseluruhannya.
Di samping itu, beliau berbangga dengan pelantikan Datuk Fenny Nilu dan berharap dapat menjadi penghubung antara Malaysia dengan Austria sebaik memulakan tugas baharunya.
Datuk Fenny Nilu yang berpengalaman selama 30 tahun dalam perkhidmatan diplomatik pernah berkhidmat termasuk di Geneva, Poland, Thailand, Belgium, Peru dan Austria.
Dari tahun 2019 hingga 2023, beliau berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Peru, dengan akreditasi serentak ke Bolivia, Colombia dan Panama serta sebelum ini merupakan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia dan Diploma Pentadbiran Awam daripada INTAN, dianugerahkan Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) pada 2017 dan Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S.) (2025) atas sumbangan cemerlang dalam perkhidmatan awam.
